Aku kenal dia di satu musim bunga. Waktu itu sakura sedang
berbunga, sebagaimana juga hati aku. Dan dia, dengan kimono merah jambu,
membuahkan mesra di serata alam. Debunga-debunga cinta pun bersemi, sakura
menari dengan gembira hingga ke musim luruh.
Aku masih ingat lagi, kita berjalan-jalan di bawah pepohon
sakura itu. Sakura jatuh di sisi bahumu, aku ambil. Mekar harumnya, mungkin
jodoh untuk jadi pendamping kupingmu. Dan ku sisipkannya di situ, merah jambu
kimono mengisi pipimu.
Aku masih ingat lagi, kala sakura itu sedang jatuh
berguguran kala jarimu ku genggam kemas. Hujanan sakura itu bukan menyakitkan,
tapi aku sedikitpun tidak mahu melepaskan pandang padamu. Tiada satu pun sakura
dapat menghalangi keindahan kamu.
Aku masih ingat lagi, waktu aku mahu melepaskan genggaman
tangan itu. Kamu tidak merelakan. Kamu mahu kita berkekalan. Sakura-sakura yang
kau petik dalam perjalanan, kau cantum jadi kalungan. Bagai keindahan sakura
mekar itu, begitulah cinta aku pada kamu. Kekal.
Musim bunga untuk kali ini bezanya jari aku sudah ditumbuhi
kedut-kedut tua. Rambutmu sudah mula diangggotai si putih. Garis-garis penuaan
sudah sama-sama jadi sebahagiaan dari kita. Tapi sakura dan pepohonnya, masih
berkembang. Masih sedia menyambut kedatangan kita, sebagaimana beberapa dekad
belakangan.
No comments:
Post a Comment